What goes around, comes around

Anak adalah rezki, itu adalah antara kepercayaan paling positif yang menjadi pegangan majoriti antara kita. Jom kita fikirkan sejenak, adakah kita setuju dengan kepercayaan ini atau kita hanya mengiyakan apa yang telah lama menjadi kepercayaan kedua orang tua kita atau kita tidak setuju sama sekali?..

Kau ada anak? Ada yang jawab ‘ada’, ada yang jawab ‘tiada’. Well it doesn’t matter, itu bukan persoalan penting. Kau adalah seorang anak? Saya yakin, semua akan jawab ‘ya’. Tiada seorang pun dalam dunia ni yang lahir tanpa ibubapa kan?

So, sebagai seorang anak.. Kau rasa kau adalah rezki kepada orang tua kau? Naaa.. Ini dia persoalan penting yang kita perlu fikirkan bersama.

Kadang-kadang kita bukan main bersungguh dan yakin lagi bahawa anak adalah sumber rezki kita. Bila orang berseloroh kat kita, “Kau ni tiap-tiap tahun beranak, produktif sungguh kilang kau yer!!..”. Kita pun dengan bangga menjawab, “Ok aper, anak tu kan rezki!”. Amboii.. Yakin sungguh kau yer.

Dalam kesibukan kita melayari bahtera rumahtangga kita sendiri, kita terlupa sebenarnya suatu ketika dulu, ibubapa kita juga menaruh harapan yang tinggi terhadap kita. Mereka sanggup berkorban apa saja untuk memberikan kita kasih sayang, pendidikan dan segala macam lagi keperluan asas yang lain dengan harapan suatu hari nanti, apabila mereka sudah tua, kita lah yang akan menjadi aset penting untuk mereka. Kita lah yang akan sanggup menyediakan keperluan asas mereka dari semua aspek: fizikal, mental dan rohani.

Jadi, sekarang.. Setelah kita mempunyai keluarga sendiri, ada anak-anak sendiri, ada duit sendiri.. Apa balasan kita terhadap ibubapa kita? Kalau ibubapa kita adalah dari golongan orang-orang kaya, Alhamdulillah… Besar kemungkinan kita mewarisi kekayaan itu. Tapi, wang ringgit bukan segala-galanya kan? Adakah kita cukup bijak menggunakan kekayaan yang kita warisi itu untuk membahagiakan kedua orang tua kita?

Saya tidak mau menulis panjang berkenaan orang-orang yang cukup bernasib baik mewarisi kekayaan ibubapa mereka kerana saya bukan dari golongan sebegitu. Tapi, saya percaya mereka juga mempunyai masalah tersendiri dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai anak. Di sini saya cuma mau berkongsi pandangan tentang jalan kehidupan yang telah saya lalui dan bukan jalan kehidupan orang lain.

Oleh kerana saya tidak mewarisi apa-apa kemewahan dari kedua ibubapa saya, apa yang saya miliki sekarang, semuanya bermula dari bawah. Namun, saya sangat bersyukur kerana mereka telah berusaha sebaik mungkin untuk membesarkan saya dengan penuh kasih sayang dan mendapat pendidikan yang terbaik. Jadi, macamana saya mau membalas jasa-jasa mereka sedangkan saya sendiri pun sudah cukup terbeban dengan tanggungjawab saya sebagai isteri dan ibu?

Mungkin ada sesetengah orang memandang kelebihan kita dari sudut lain. Antaranya:

  1. “Dia boleh lah jaga orang tua dia sebab dia masih bujang, belum ada anak sendiri”.
  2. “Bertuah lah dia tu dapat kahwin dengan orang kaya, memang patut pun dia jaga orang tua dia”.
  3. “Dia lah yang patut jaga orang tua sebab dari kecil, dia yang paling banyak habiskan duit mak bapa untuk belajar tinggi-tinggi. Sekarang pun dia saja yang ada kerja tetap”.
  4. “Eh, dia kan anak lelaki, memang tanggungjawab dia jaga orang tua! Syurga seorang lelaki adalah ditelapak kaki ibunya. Saya ni anak perempuan, wajib taat pada suami”.

Dan… Macam-macam lagi lah alasan, kalau nak disenaraikan satu persatu, memang takkan habis. Tapi, logik kah semua alasan-alasan itu? Mungkin yang paling logik ialah alasan ke-4. Memang tidak dinafikan, tanggungjawab seorang anak lelaki lebih berat daripada anak perempuan. Tapi, kita ni kan makhluk ciptaan Tuhan yang paling mulia, punya akal dan fikiran. Kalau boleh, jangan lah kita gunakan alasan ke-4 tu untuk satu-satunya jalan penyelesaian. Akal yang dianugerahkan Tuhan ni untuk apa? Semestinya lah untuk berfikir secara kreatif kan? Dan untuk berfikiran kreatif ni, tak payah belajar tinggi-tinggi masuk universiti!! Kebanyakan orang-orang yang berjaya dalam dunia ni pun bukannya graduan universiti, malah ada yang tak pandai membaca pun!! Haisshh.. Sudah-sudah lah membazirkan kapasiti akal fikiran kau tu mencipta pelbagai alasan-alasan negatif semata-mata untuk lari dari tanggungjawab.

Sampai bila nak lari dari masalah? Kau lari-lari pun dapat apa? Dapat penat jer kan?..

Sekarang kita sedar, sememangnya tidak mudah untuk merealisasikan kepercayaan bahawa anak adalah rezki kepada ibubapa. Tapi, ianya tidak mustahil!! Tak perlu pandang jauh-jauh, lihat keluarga mentua kita. Kalau belum ada mentua, lihat jiran sebelah atau kawan-kawan kita. Tentunya mereka kelihatan lebih bahagia daripada kita kan? Bukan kerana mereka tiada masalah, tapi kerana mereka bekerjasama menghadapi apa jua masalah. Bagaimana dengan diri kita, apa yang boleh kita lakukan? Fikir.. Rancang.. Dan bertindaklah sekarang. Sudah-sudahlah mengharapkan belas ehsan dari orang lain untuk menyelesaikan masalah kita. Kita juga manusia seperti mereka, ada kelebihan tersendiri.

Menyedari hakikat bahawa tanggungjawab menjaga orang tua bukan sesuatu yang mudah, maka persiapkan lah diri kita mulai dari sekarang. Kerana suatu hari kita juga akan menjadi tua, menjadi bebanan buat anak-anak kita. Kita ada kuasa untuk merancang masa depan yang bagaimana harus kita lalui. Proses membesarkan anak-anak sememangnya banyak mengajar kita tentang makna kehidupan. Tapi, jangan pula kita terlalu leka sehingga lupa membuat persiapan untuk hari tua kita sendiri. Jangan terlalu menaruh harapan yang tinggi terhadap anak-anak. Walaupun kita sudah berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik dari segi kasih sayang, pendidikan duniawi dan ukhrawih.. percayalah, itu tidak menjamin apa-apa. Kita merancang, Tuhan menentukan.

Cuma saya percaya pada satu perkara, what goes around comes around. Atau dengan kata lain, hukum karma. Bagaimana layanan kita terhadap orang tua kita, begitu lah nanti layanan yang kita terima daripada anak-anak kita. Semuanya bermula dari diri kita sendiri.

Ps: Every story has a happy ending. If it is not happy, then it is not over yet.

Follow me!

  • Facebook
  • twitter
  • Hatena

You may also like...

Leave a Reply