Cemburukah aku?

Aku terpaku di hadapan rumah yang serba dhaif itu. Otak ku tidak habis berfikir, bagaimana mereka mampu hidup di dalam rumah ini? Memori 10 tahun lepas terimbas semula.

Tika itu, rumah mereka diperbuat daripada buluh, dibangunkan di atas tanah kampung. Selain berkebun, si suami juga mempunyai sebuah bengkel kereta kecil di sebelah rumahnya. Sebenarnya bengkel itu hanyalah garaj untuk keretanya yang sudah terlalu uzur, namun memandangkan dia mempunyai sedikit kepakaran membaiki kereta, penduduk kampung gemar mendapatkan khidmat darinya. Maka, garaj itu boleh lah diibaratkan seperti bengkel kecil.

Kini, rumah mereka diperbuat daripada kayu, dibangunkan di sebelah rumah lama. Namun, sesiapa sahaja yang memandang rumah itu pasti membuat anggapan yang sama iaitu ia belum siap sepenuhnya. Separuh daripada bawah kolongnya masih berlantaikan tanah. Sebahagian daripada dinding di bahagian atas ditutup dengan kain kemah. Kereta buruknya tersadai di bawah kolong, tak pasti sama ada masih boleh berfungsi atau tidak. Rumah lama sudah dijadikan stor dan garaj itu sudah tidak wujud di situ.

Aku tercari-cari pintu masuk, rupa-rupanya pintu masuk adalah melalui bawah kolong. Aku terus sahaja menuju ke arah pintu, kelihatan beberapa pasang selipar jepun berselerak di hadapan pintu. Aku mengucapkan salam beberapa kali, “Assalamualaikum!!”, namun tiada jawapan diterima.

Pintu rumah berlubang di sana sini dimamah anai-anai dan tidak tertutup rapat. Dari dalam rumah, kedengaran suara si isteri sedang berkomunikasi dengan anaknya beserta bunyi air paip yang sedang mengalir. Aku beranggapan, mungkin dia sedang memandikan anaknya di dalam bilik air, sebab itu lah salam ku tidak dapat didengar.

Lalu aku memberanikan diri menolak pintu rumah untuk masuk ke dalam. Sekali lagi aku mengucapkan salam dan sebaik sahaja aku berada di dalam, kelihatan 6 orang kanak-kanak dalam lingkungan usia 7 hingga 12 tahun sedang leka menonton rancangan tv. Tapak kaki ku mulai terasa rimas kerana berkaki ayam di atas lantai beralaskan tikar getah yang berpasir. Aku terlihat kain batik buruk yang dijadikan pengelap kaki, lantas aku cepat-cepat beralih ke situ. Ooopss!! Rupa-rupanya lebih banyak pasir sudah terkumpul di atas kain batik itu.

Salah seorang daripada kanak-kanak itu tersedar dengan kehadiran ku dan mungkin sudah lama memerhatikan gelagatku tadi. Dia memanggil ibunya dari bilik air, lalu aku terus saja bergerak ke depan pintu bilik air yang ternganga luas. Si ibu sedang membasuh kain rupanya. Walaupun keadaan bilik air itu agak gelap, namun jelas kelihatan dua besen besar rendaman kain yang perlu dicuci dengan tangan.

Melihat kehadiran ku, si ibu cepat-cepat membasuh tangan dan keluar dari bilik air itu sambil melemparkan senyuman manis untuk tetamunya. Aku menyatakan hajat kedatangan ku dan perbualan kami berlanjutan sehingga beberapa minit. Sambil berbual, aku sempat meninjau keadaan sekeliling.

Di ruang tamu, 6 orang kanak-kanak tadi sedang duduk bersilah sambil menonton rancangan tv tanpa menghiraukan perbualan kami. Adakah mereka ini kesemuanya anak kepada tuan rumah ini? Aku tak pasti. Mata ku lebih tertumpu pada kabinet usang yang terletak di ruang tamu itu. Pintu kabinet sudah remuk sehingga tidak mampu lagi menampung muatannya. Beberapa helai pakaian lama terkeluar dari perut kabinet.

Sekelompok lengkuas ditempatkan bersebelahan dengan pintu bilik air. Ini lah sumber rezeki mereka. Ianya sudah dibersihkan dan sedia untuk dijual kepada pemborong. Kuantitinya tidak begitu banyak jika dibandingkan dengan hasil kutipan penduduk kampung yang lain.

10 minit kemudian, aku sudah pun berada di dalam perut kereta ku. Aku perlu memandu pulang ke rumah ku, namun keadaan rumah tadi masih jelas terbayang di mata ku. Tiba-tiba timbul perasaan kagum terhadap wanita itu. Betapa dia masih bisa tersenyum manis dengan keadaan hidup sebegitu dhaif.

Fikiran ku mula menempatkan aku di posisinya. Sanggupkah aku tinggal di dalam rumah yang berpasir? Sanggupkah aku mencuci kain sebanyak 2 besen besar tanpa menggunakan mesin basuh? Dan jika sekiranya ditakdirkan aku sanggup, masihkah aku mampu mengukir senyuman semanis itu seolah-olah tiada masalah yang sedang membebani aku?

Kini aku melihat diriku sebagai orang asing, yang hanya tahu mengeluh dalam kepayahan. Yang tidak pernah puas dengan apa yang ada, sentiasa menetapkan matlamat untuk memiliki bermacam-macam kemewahan yang bersifat sementara. Yang cuba mengejar kebahagiaan dengan cara mengejar kebendaan. Namun, adakah aku lebih bahagia berbanding wanita itu? Adakah aku mampu mengukir senyuman semanis itu?

Tidak!! Aku sentiasa sibuk memikirkan masalah dunia yang tiada penghujungnya. Aku mungkin bisa tersenyum, tapi tidak seikhlas itu. Aku mungkin kaya dengan harta benda, namun wanita itu mempunyai hati yang lebih kaya. Kaya dengan sifat sabar, kaya dengan sifat redha, kaya dengan sifat syukur. Sesungguhnya apa yang dia miliki tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Cemburunya aku melihat kebahagiaan yang terpapar pada wajahnya. Cemburunya aku pada kekayaan yang dimilikinya. Aku cemburu, ya Allah…

Namun aku percaya, setiap manusia diuji dengan cara yang berbeza. Aku diuji dengan kemewahan, dia diuji dengan kemiskinan. Walaubagaimana pun cara kita diuji, matlamatnya cuma satu iaitu untuk menjadi hamba Allah yang paling setia. Destinasi kita hanya satu yakni untuk hidup kekal di alam syurga.

Sesungguhnya Allah tidak menguji melebihi batas kemampuan kita. Setiap ujian itu adalah rahmat dan peluang untuk kita melipat-gandakan pahala, maka rugilah bagi mereka yang telah berputus asa. Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat semua. Bersamalah kita berubah dan menjadi isteri dan ibu yang mithali. Insya-Allah..

Follow me!

  • Facebook
  • twitter
  • Hatena

You may also like...

1 Response

  1. angah says:

    cenburu yg akhirnya membawa kebaikan tak ape…

Leave a Reply